Kaitkan abu suci dahi Rayer dan abu mayat Chin Peng, MP BN digantung dari sidang Parlimen (Video)

PETALING JAYA, Dis 3: Seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) digantung 2 hari daripada sidang Dewan Rakyat selepas mempersoalkan jika abu suci (vibhuti) di dahi RSN Rayer (PH-Jelutong) ada kaitan dengan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Kekecohan bermula apabila Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bertanya Rayer jika abu di dahinya ialah abu mayat Chin Peng.

Kredit Video: KiniTV

“Saya hendak tumpang tanya, abu itu adakah abu Chin Peng atau apa?” soal Tajuddin.

Beliau terus bertanyakan Rayer berhubung abu suci di dahinya ketika perbahasan di Dewan Rakyat bertukar kepada isu penahanan 12 individu yang didakwa ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Saya tidak mahu Jelutong (Rayer) dituduh pakai abu (mayat) Chin Peng dekat dahi itu,” katanya.

Rayer kemudian memberitahu Speaker Dewan Rakyat,  speaker Mohamad Ariff Md Yusof, tindakan Tajuddin ialah satu penghinaan kepada penganut Hindu.

“Ini adalah menghina orang-orang Hindu. Saya minta Pasir Salak (Tajuddin) minta maaf kerana beliau menghina orang-orang Hindu di Malaysia. Saya minta tarik balik kenyataan itu.”

Rayer mendapat sokongan Sivakumar Naidu (PH-Batu Gajah) yang bersetuju kenyataan Tajuddin itu ialah penghinaan kepada penganut Hindu.

Tajuddin kemudiannya menarik balik kenyataan itu selepas diasak beberapa ahli Parlimen beragama Hindu yang lain.

“Okeylah, tarik balik. Tarik baliklah, apa ada masalah?”

Abu suci terhasil daripada kayu istimewa yang dibakar dengan minyak sapi dan herba lain menggunakan api suci.

Ini adalah kontroversi kedua di Dewan Rakyat membabitkan ahli Parlimen BN dalam tempoh seminggu.

Pada 27 Nov lalu, bekas menteri persekutuan, Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mengeluarkan kata kesat “P ***** k” kepada Rayer yang menggelarnya “bodoh” dalam satu pertikaian mengenai catatan Facebook yang mengkritik Sultan Selangor.

Noh kemudiannya menarik balik kenyataan itu, tetapi mendakwa beliau tidak sedar menyebut perkataan berkenaan. – Free Malaysia Today

Be the first to comment on "Kaitkan abu suci dahi Rayer dan abu mayat Chin Peng, MP BN digantung dari sidang Parlimen (Video)"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*