Promosi seni batik Malaysia merentasi benua melalui seni muzik Veena

KUALA LUMPUR, Jan 9: Seni batik Malaysia bakal dipromosikan melalui keharmonian bersama seni muzik Veena di seluruh dunia. Usaha unik ini tercapai dengan perjanjian persefahaman yang termeterai di antara ahli muzik terkenal Rajhesh Vaidhya dan syarikat pengeluaran produk batik tempatan, Indah Atelier Sdn Bhd baru-baru ini di ibu negara.

Rajehsh Vaidhya, ahli muzik terkenal dari India, telah menjadi sebutan rakyat Malaysia apabila beliau menawan hati peminat melalui dendangan lagu kebangsaan NegaraKu dengan muzik Veena beliau. Beliau memang popular dengan kreativiti muzik melalui pelbagai album dan juga persembahan pentas di seluruh dunia. Rajhesh Vaidhya juga terkenal dengan gandingan muzik beliau bersama ahli-ahli muzik tersohor dunia, seperti Sir Elton John dan AR Rahman, di samping menjadi pengarah muzik bagi beberapa filem. Pada tahun 2008, beliau terlibat di dalam projek muzik konsep multimedia melalui album Songs Around The World.

Rajehsh Vaidhya kini berganding bahu dengan syarikat Malaysia, Indah Atelier Sdn Bhd yang melantik beliau sebagai duta jenama bagi mempromosikan produk batik Malaysia dan kempen #myartisan syarikat tersebut.

Indah Atelier, anak syarikat Moel Group of Companies, baru-baru ini telah melancarkan projek ‘MALAYSIA IN 100METER BATIK POINTILLISM – M100MBP’ bagi menyuntik dayacipta dan inovasi di dalam industri batik tempatan. Projek tersebut adalah seiring dengan kempen #myartisan syarikat tersebut yang bermatlamat menjana pasaran global bagi pereka batik tempatan.

Indah Atelier dengan jaringan perniagaan global di Dubai, London, Itali, Mesir, Hong Kong dan Singapura, merancang bagi memposisikan produk batik Malaysia sebagai simbol warisan kebudayaan kontemporari di peringkat antarabangsa.

Berlandaskan objektif tersebut dan juga sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, Indah Atelier Sdn Bhd telah melantik Rajhesh Vaidhya sebagai duta jenamanya.

“Melalui kolaborasi ini, Indah Atelier berazam mencapai kecemerlangan artisitik melalui keharmonian seni muzik dan seni batik di peringkat global,” kata Mathumathi Manickvasagar Pilay, Ketua Pegawai Eksekutif Indah Atelier Sdn Bhd.

Dendangan muzik lagu kebangsaan melalui Veena

Rajhesh Vaidhya yang ditemui di dalam majlis menandatangani MoU tersebut berkata beliau berasa amat bangga dan bertuah memikul tanggungjawab membawa jenama Indah Atelier dan produk batik Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui persembahan muzik beliau.

“Pakaian batik menampilkan inspirasi dan aspirasi muzik saya. Pencarian saya bagi penampilan identiti diri saya sebagai seorang pemuzik antarabangsa dan seni muzik Veena terjawab apabila Indah Atelier mengesyorkan penajaan pakaian batik bagi persembahan antarabangsa saya. Seni muzik dan seni batik Malaysia akan bersama-sama menjelajah dunia!,” kata Rajhesh Vaidhya. – The Sentral

Be the first to comment on "Promosi seni batik Malaysia merentasi benua melalui seni muzik Veena"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*