Sejarah tercipta bekas PM di kandang saksi, Najib tiba untuk bela diri kes SRC

KUALA LUMPUR, Dis 3: Selepas empat bulan melalui prosiding perbicaraan, hari ini buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, bekas Perdana Menteri akan berada di kandang saksi.

Datuk Seri Najib Tun Razak, 66, bakal membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ini sekali gus memberi peluang kepada mahkamah untuk mendengar sisi cerita daripada pihak Ahli Parlimen Pekan itu sejak kes tersebut mula dibicarakan pada 3 April lalu.

Najib yang memakai sut berwarna biru kelihatan tenang sewaktu tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini kira-kira pukul 8.50 pagi.

Najib akan memberi keterangan secara bersumpah yang mana beliau akan turut dikenakan pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa.

Ia merupakan pilihan pertama selepas bekas Presiden UMNO itu sebelum ini diberikan tiga pilihan, antaranya memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang saksi atau memilih untuk berdiam diri.

Selepas empat bulan melalui prosiding perbicaraan, hari ini buat pertama kali dalam sejarah Malaysia bekas Perdana Menteri akan berada di kandang saksi.

Menurut peguamnya Harvinderjit Singh, Najib akan dipanggil sebagai saksi pertama pada hari pertama prosiding pembelaan.

Beliau dijangka disoal terlebih dahulu oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pasukan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Najib ketika memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Advisor Emeritus (Penasihat Emeritus) SRC International Sdn Bhd didakwa atas dua tuduhan pecah amanah jenayah pada 4 Julai 2018.

Beliau yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, dituduh melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group dekat Jalan Raja Chulan antara 24 Disember hingga 29 Disember 2014.

Bagi kesalahan ketiga, Najib didakwa melakukan jenayah sama, membabitkan wang berjumlah RM10 juta di lokasi sama antara 10 Februari hingga 2 Mac 2015.

Bagi semua tuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda. – Astro Awani

Be the first to comment on "Sejarah tercipta bekas PM di kandang saksi, Najib tiba untuk bela diri kes SRC"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*