Syabas MoTAC kerana sokong ekspo tatu separuh bogel, janganlah gadaikan budaya Malaysia, bidas Pemuda MIC

KUALA LUMPUR, Dis 2: Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan hari ini membidas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) kerana membenarkan dan menyokong penganjuran  Tattoo Malaysia Expo 2019, berikutan peragaan separuh bogel pada acara tersebut yang berlangsung 29 November hingga 1 Disember di KL Convention Centre.

“Sungguh mengganggu dan menjijikkan melihat lelaki dan perempuan memperagakan tatu mereka dalam keadaan separuh bogel di dalam sebuah program yang diiktirafkan oleh pihak MoTAC! Ke manakah menghalanya budaya Malaysia yang mengutamakan nilai-nilai moral dan ketatasusilaan?” soal Khirubananthakumar Palaniyappan, Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi hari ini telah mengarahkan kementeriannya menyiasat penganjur program tersebut berikutan tularnya kontroversi di dalam media sosial sejak semalam. Mohamaddin turut menyatakan bahawa sebelum ini tiada kejadian seumpama berlaku dan dipamer ke khalayak ramai di dalam ekspo yang diadakan mulai tahun 2015 di Malaysia.

“Memang tidak dinafikan seni tatu itu menjadi kegemaran segelintir anggota masyarakat. Kita bukan mempersoalkan isu kebebasan mengamalkan hobi individu atau mempromosikannya. Tetapi, segalanya ada batasan. Memperagakan diri secara separuh bogel di khalayak ramai bukanlah budaya kita.”

“Benarkah MoTAC tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan atau menyokong penganjuran program tersebut? Apakah SOP bagi penganjuran program antarabangsa yang melibatkan peserta luar negara? Bagaimanakah KLCC boleh membenarkan acara sedemikian tanpa kebenaran agensi Kerajaan?”.

” Terlalu banyak persoalan yang timbul. Menteri MoTAC harus tampil memberi penjelasan menyeluruh, bukan sekadar kenyataan akhbar. Janganlah gadaikan budaya Malaysia!” tegur Khirubananthakumar.

Be the first to comment on "Syabas MoTAC kerana sokong ekspo tatu separuh bogel, janganlah gadaikan budaya Malaysia, bidas Pemuda MIC"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*