Tidak sensitif dan membelakangkan teras Rukun Negara, Pemuda MIC bidas Ahli Parlimen BN Pasir Salak

KUALA LUMPUR, Dis 3: Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan hari ini menyelar tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional Pasir Salak Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengaitkan abu suci ‘Vibuthi’ di dahi Ahli Parlimen Jelutong dengan abu mayat bekas pemimpin komunis Chin Peng di dalam sidang Dewan Rakyat.

“Kami mendesak Ahli Parlimen Pasir Salak untuk meminta maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia bergama Hindu. Tindakan beliau tidak langsung mencerminkan “standard” yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang yang bergelar Ahli Parlimen kerana jelas beliau tidak menghormati langsung sensitiviti masyarakat India beragama Hindu di Malaysia. Ianya juga membelakangkan teras Rukun Negara yang pertama, ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, di mana beliau bagai mempersendakan kepercayaan agama masyarakat Hindu,” kata Arvind Krishnan, Ketua Biro Politik Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen, Tajuddin sepatutnya tahu bahawa perkara – perkara sensitif seperti kepercayaan agama dan budaya seseorang tidak wajar digunakan untuk tujuan politik apatah lagi untuk disindir bagi sebarang tujuan. Jika mahu bertanya tentang isu penyeludupan abu mayat mendiang Chin Peng, beliau boleh sahaja mempersoalkan Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan dari Kerajaan Pakatan Harapan yang bertanggung jawab tentangnya, malangnya beliau telah bertindak dengan mengeluarkan satu kenyataan yang cukup rasis sehingga digantung dari Dewan Rakyat.”

“Perkara ini bukan sahaja memalukan Dewan Rakyat, malah juga Barisan Nasional secara menyeluruh kerana adanya Ahli – Ahli Parlimen Barisan Nasional yang rasis seperti YB Pasir Salak walaupun kita sering mendakwa Barisan Nasional adalah parti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” tambah Arvind lagi.

“Tiada guna jika kita sekadar mendakwa Barisan Nasional adalah parti untuk semua jika pemimpin parti seperti Ahli Parlimen Pasir Salak terus dibiarkan untuk membuat kenyataan – kenyataan yang “bodoh” seperti ini. Rakyat membayar gaji anda sebagai Ahli Parlimen untuk membahaskan isu – isu negara secara ilmiah dan objektif agar negara boleh terus maju, bukan untuk mengwujudkan perpecahan.”

“Kami menggesa Dato’ Seri Tajuddin agar memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia beragama Hindu atas tindakan tidak sensitif ini. Jika beliau masih tidak mampu faham perkara – perkara asas sebegini, lebih baik letak jawatan sahaja,” tegas Arvind lagi. – The Sentral

1 Comment on "Tidak sensitif dan membelakangkan teras Rukun Negara, Pemuda MIC bidas Ahli Parlimen BN Pasir Salak"

  1. Tajuddin must be suspended from parliament sittings for reasonable amount of time.
    This man don’t respect the patient’s rules and order.
    He thinks that parliament is his father’s house.
    He must be taught a very good lesson.

Leave a comment

Your email address will not be published.


*